kawan

Ahad, 16 Jun 2013

Selamat Hari Abah

Nostalgianya.

Setiap hari, apabila celik mata abah sudah berangkat ke tempat kerja. Mama yang akan menyediakan sarapan, bekal dan menguruskan kami sebelum kami berbasikal ke sekolah yang terletak beberapa kilometer dari rumah. Abah hanya akan pulang selepas asar ketika kami sedang rancak bermain bersama rakan sebaya. Melihat saja kereta abah meluncur ke halaman, sudah tentu kami akan kecut perut. Apalagi jika belum menunaikan solat asar. Pasti akan terkocoh-kocoh berlari ke dalam rumah sebelum dirotan abah di hadapan kawan-kawan. Malu kan.

Malam, kami akan menunaikan solat maghrib berjemaah. memang sudah kebiasaan kami akan berjemaah jika abah di rumah. Pantang bagi abah jika kami tidak sempat berjemaah. Selepas solat maghrib, abah akan ajarkan kami mengaji beramai-ramai sambil melakukan kerja-kerjanya. Atau abah juga akan turut 'mengulang' bacaan al-Qurannya. Walau dari jauh, telinga abah peka mendengar bacaan kami. Abah akan menegur jika ada kesalahan dalam bacaan. Laungan lantang abah pasti kedengaran sehingga ke rumah-rumah jiran. Bagi kami yang berada dalam satu rumah apatah lagi, teguran abah pasti terus menusuk ke jantung. Ketika sesi mengaji, kami sering berlumba-lumba agar cepat habis untuk malam tersebut, lebih-lebih lagi jika abah berada berdekatan. Jika bernasib baik, abah izinkan kami 'sodakallah' sebelum jam 9.30 malam, jadi kami sempat menonton rancangan pendekar yang disiarkan di TV2, yang seringkali terlepas kerana sesi mengaji berlanjutan apabila bacaan tidak lancar. Sadis kan.

Hujung minggu, kami tidak berpeluang tidur selepas subuh kerana sesi mengaji akan bermula seawal jam 7 pagi lagi. Usai mengaji,dalam keadaan terpaksa kami bersama-sama akan membersihkan halaman; mengutip dedaun kering yang disapu abah sebelum membakarnya kemudian. Bagi yang perempuan, biasanya apabila abah memanggil, mereka akan mula berpura-pura rajin membantu mama di dapur untuk dijadikan alasan. Apabila masuk ke sekolah menengah, kami akan tinggal di asrama, jadi kami boleh tidur sepuasnya selepas subuh sebab abah tiada di asrama. Bebas kan.

Kadangkala, ketika puasa, raya atau pada hari-hari tertentu, abah akan mengajak kami semua ke kubur. Membersihkan kubur arwah ayahnya dan kakaknya. Kemudian kami akan sama-sama membacakan tahlil yang diimamkan abah. Bulan puasa kami tidak meriah jika tidak puasa. Kerana sesiapa yang tidak puasa tidak dibenarkan menyertai yang lain untuk berbuka dan lebih menyedihkan mereka dikehendaki berada di beranda rumah sehingga 'acara' berbuka puasa tamat. Memang sejak kecil, abah memang tekankan tentang solat dan al-Quran. Ketika darjah 5 dan 6, sesiapa yang tidak khatam quran tidak akan dibenarkan mengikuti kelas malam di sekolah walaupun wajib. Guru kelas juka akan akur dengan arahan abah. Peraturan abah mampu 'overule' peraturan sekolah. Kagum kan.

Sekarang, semuanya hanya kenangan. Apabila jauh dari kampung halaman, seringkali aku rindukan alunan al-Quran dibaca abah selepas maghrib atau subuh. Semakin aku sedar tiada maknanya malu dan sadis kerana abah, tetapi malu dan sadis kerana mengingkari suruhan Allah. Tiada maknanyan kebebasan melakukan dosa, kerana sesungguhnya Allah melihat setiap masa. Sehingga detik ini, aku tetap kagum memiliki abah sebagai abahku. Sungguh.

Doaku,
Semoga Allah panjangkan pahalanya untuk abah,
bagi setiap huruf bacaan al-Quranku.
Semoga Allah gandakan barokahnya untuk abah,
bagi setiap sedekahku.
Semoga Allah cahayakan kubur abah kelak,
bagi setiap alunan al-Mulkku.
Semoga Allah murahkan rezeki abah,
bagi setiap syuruk dhuhaku.
Semoga Allah menjaga keselamatan abah,
bagi setiap mathurat ulanganku.
Semoga Allah kurangkan sakit abah,
bagi setiap selawat shifa' ku.
Semoga Allah gugurkan semua dosa abah,
bagi setiap sunnah amalanku.
Semoga Allah sentiasa permudahkan urusan abah, kurangkan kepayahan abah, jagakan kebajikan abah, penuhi keperluan abah, panjangkan umur abah, redhai dan rahmati hidup abah.

Abah,
semakin aku menginjak matang,
aku sedar abah tidaklah garang,
abah hanya miskin cara meluahkan kasih sayang.

Mohonku, agar dimaafkan setiap dosa perbuatan, dihalalkan makan minum, diredhakan setiap titis darah abah yang mengalir dalam jasad ini.

Selamat Hari Abah, setiap hari adalah hari abah.